Malam tadi aku meluncur ke dalam mesin cahaya masa. Mesin itu bawa aku berundur dua malam lepas. Dalam terowong masa, ada satu cahaya putih. Cahaya putih yang bawa aku kepada seorang gadis. Gadis yang sedang lena diulit mimpi. Raut wajahnya kepenatan. Terlihat sangat tak terurus bila pandangan aku jatuh pada sepasang matanya yang tertutup. Ada sepasang lingkaran hitam. Mungkin tidak cukup tidur atau rehat.
Apa yang aku perasan, tidurnya pada malam itu tidak lena. Asyik berkalih saja pembaringan dia. Dahi berkerut. Macam dapat mimpi buruk saja.
tskk tskkk tskk...
Dia menangis, ah sudah!
Kenapa cengeng sangat dia ni haih.
Laju tangan aku menyeka air mata gadis itu. Aku yakin air mata ni sudah sekian lama ditahannya. Aku lihat rakan sebiliknya masih nyenyak tidur. Tiba-tiba, gadis cengeng tu terjaga dari tidurnya. Aku kaget! Risau dia nampak aku. Tapi nasib aku baik, dia tak perasan akan hadirnya aku di bucu katilnya.
Perlahan-lahan dia bangun dari baringnya yang berkalih tadi. Menuju ke arah meja belajar, dengan hati-hati dia tarik kerusi. Risau ganggu rakan sebiliknya. Dia capai buku yang kulit depannya berwarna kelabu berkilauan. Dicapainya pula earphone dan disumbatnya ke dalam telinga. Aku perasan dia pilih lagu Sedang Apa Dan Dimana nyanyian Sammy Simorangkir. Sedihnya dia ni! Perasaan jenis apa yang kau alami sekarang ni wahai gadis cengeng?
Laju tangan dia melarikan mata pena. Aku perhatikan tingkah lakunya dari sudut meja. Aku biarkan dia menulis. Aku biarkan dia melampiaskan segala rasa atas kertas kaku itu. Selang dua tiga baris, aku lihat dia mengetap bibir. Tahan air mata dari terbit di tubir mata. Hati aku bagai dihiris belati, sakit dan pedih sekali.
Gadis cengeng itu terus tutup buku kelabu itu dan sambung tidurnya yang terganggu sebentar tadi.
Aku penasaran dengan buku kelabu itu. Terus aku belek di mukasurat tadi. Yang telah dia tanda dengan reben hitam yang panjang.
Harini baru aku ada rasa nak menulis.
Harini juga aku baru mengerti bahawa cinta tak seharusnya memiliki....
Layak aku hanya pandang kau dari jauh. Aku nampak kau di atas pentas sana. Asyik dengan lakonan kau. Ya, kau pelakon pada malam tu. Kau dan pentas pada saat itu bagaikan bersatu. Segala rasa kau lepaskan saat di atas pentas sana. Aku manusia paling seronok lihat kamu dari kerusi penonton :)
Beberapa jam sebelum berlangsungnya pementasan, aku terima pesanan ringkas dari kau. Mengadu betapa kau risau dan nervous. Aku gelak kecil saat baca pesanan ringkas kau. Comel.
Aku ucap good luck dan kau bilang, eh datanglah malam ni. Saya berlakon tau malam ni.
Ya, aku hadir dalam berpuluh manusia di kerusi penonton. Mungkin ratusan. Tak pasti. Aku manusia paling tak sabar untuk lihat pementasan teater kali ini. Sambil genggam dua bungkus m&m biru kegemaran aku. Mahu hadiahkan pada kau. Kata kau, ini hutang aku sebab bikin kau marah tempoh hari.
Pementasan bermula. Watak demi watak tonjolkan bakat masing-masing. Sepasang mata aku hanya melekap pada homo sapiens yang bawa watak Detektif pada malam itu.
Setelah berakhirnya pementasan teater, pada mulanya aku mahu tunggu kamu di kerusi penonton. Melihatkan penonton yang lain beransur pulang, bikin aku ubah fikiran. Aku hanya pandang kau dari jauh. Risau kau tak suka akan kehadiran aku pada malam itu. Kau sedang sibuk dengan kru pementasan di pentas sana. Terus aku matikan niat nak bagi kau dua bungkus m&m ni.
Untung saja ada kawan aku jadi kru pada malam tu. Terus aku pesan pada dia pastikan m&m tu sampai ke tangan kau. Harap kau terima m&m dari aku.
Perlahan-lahan aku tutup buku kelabu milik gadis cengeng itu. Aku rapati sekujur tubuh yang baru saja meluncur ke alam mimpi. Dari nafasnya aku perhatikan bahawa ada nafas lega yang dia lepaskan. Lega sebab dah luahkan apa yang terbuku dalam hati kot. Cahaya malam menyuluh ke arah wajah gadis cengeng dan aku kaget! Gadis cengeng itu terjaga dari tidurnya lagi.
Kali ini dia nampak aku. Terus dia dekati aku dan raih tangan aku.
Dengan suara separa berbisik dia bilang, aku tetap kau dan kau tetap aku.