Dulu kau dan dia selalu sangat bertukar pesanan ringkas. Senang cerita hampir setiap masa jugak lah. Setiap malam kau selalu call dia. Terlalu banyak cerita dan luahan yang dia kongsi dengan kau. Kau pun sama. Kalau tak dengar suara masing-masing, ada sahaja yang tidak kena. Makan tak kenyang, duduk tak senang, asyik nak beralih-alih. Tak selesa kata kau dan dia. Bila ada depan mata, dia malu nak pandang kau. Bila diusik kawan-kawan, dikatanya janggal. Sampaikan kawan-kawan hairan. Disoalnya mereka sambil garu kepala yang tak berapa nak gatal, ada apa antara kamu berdua. Kau tahan gelak. Kau jawab, takda apa-apa lah. Tapi, kau senyum sambil pandang dia. Dia tak sedar tapi dalam hati bahagia.
Sekarang kau dan dia sudah jarang berhubungan. Tiada lagi pesanan ringkas yang selalu singgah peti masuk telefon bimbit dia. Kau sudah berubah. Dia masih membelek-belek telefon bimbit, manalah tahu kau tiba-tiba hantar pesanan ringkas. Suara kau. Dia rindu suara kau. Sudah agak lama kau dan dia tidak kongsi cerita. Bila kau, dia dan kawan-kawan keluar bersama, raut wajah dia tiada riak gembira. Kawan-kawan hairan lagi. Disoalnya mereka sambil mata bersilih ganti pandang wajah kau dan dia, ada apa antara kamu berdua. Kau hela nafas panjang. Kau jawab, takda apa-apa lah. Kali ini, kau pandang dia. Dan dia sedar tapi hati dia sudah kosong.