Saturday, August 9, 2014

Tanpa Warna








Aku paling takut kalau hati aku terluka.
Aku paling takut kalau hati aku tercalar.
Dan aku juga paling takut kalau hati aku hancur.


         Percayalah semua yang di atas tu statement paling klise bergema dalam mana-mana kotak fikiran manusia. Ya, aku tak nafikan. Bila bercerita soal hati, lelaki dan perempuan sama sahaja. Cuma darjah kesakitan hati masing-masing sahaja yang berbeza. Ada yang sakitnya bagai dihiris sembilu. Tidak ketinggalan juga sakitnya umpama berpenat lelah daki tangga bangunan sepuluh tingkat, lalu tersadung paip di bumbung bangunan. Graviti bumi terasa makin kuat dan BUKKK!! Bersepai tubuh badan. Terhambur segala isi perut. Dan yang aku pasti, darjah sakitnya lagi tinggi bila jatuh tanpa rela. Jelas dari ekspresi wajah terkejutnya (walau sudah hampir hancur) dan tubuhnya menghadap hamparan permaidani biru di atas sana.


Maaf. Aku hanya umpamakan darjah sakit hati dengan jatuh dari bangunan dan terbunuh tanpa rela. Mungkin kalau dari skala 1 hingga 6, aku rasa ini baru skala 5.5. Macam mana skala 6? Aku rasa sakitnya umpama pasangan suami isteri yang sudah bina mahligai cinta selama lima tahun (jangan tanya kenapa kerana aku hanya ingin perincian untuk perumpamaan ini ) dan tiba-tiba ada wanita yang jauh lagi jelita datang merebut cinta dari si isteri. Kekasih lama katanya. Dan si isteri ditinggalkan tanpa sebarang penjelasan. Sakit kan rasanya? 


                                                            *    *   *   *   *   *


"Kenapa awak diam?"

          Lama Balqis tunggu soalannya dijawab sedari tadi Khairel mengetik-ngetik telefon bimbitnya. Hanyut dengan pesanan ringkas dari pencuri hati barunya kot, tembak Balqis dalam diam. Dalam situasi yang sungguh tegang ini seharusnya mereka berdua sudah punya jalan penyelesaian.


"Rel, saya sayang awak. Awak tak sayang saya ke?"

          Soalan sama diulang Balqis dan dia tahu jawapan apa yang bakal dia terima dari jejaka tinggi lampai di hadapannya itu. Sungguhpun dia tahu jawapan itu bakal menambah calar dan luka di hatinya, dia rela. Dia sudah berjanji dengan diri sendiri dan sudah tidak mahu perasaannya dianggap sampah.


"Awak, sayang saya lagi tak?"
       
      Soalan sama tapi ada nada keras sedikit dari sebelumnya. Khairel mengangkat mukanya dari telefon bimbitnya dan mengusap rambutnya ke belakang. Dulunya perilaku usap rambut ke belakang inilah yang sering bikin dunia Balqis tidak karuan. Itu dulu. Itu perilaku paling mempesonakan bagi Balqis, dua bulan dulu. Tetapi perilaku itu sangat menjelekkan di mata Balqis sejak mengetahui kecurangan Khairel. Pesona lain seperti setiap kali ketawa, sepasang mata kuyu Khairel jadi semakin menarik sudah hilang dari kamus jatuh hati Balqis.


"Hmm.. Tak tahu. Maaf, saya takde jawapan untuk soalan tu... Sorry Bal."


      Aduh! Sakit hati Balqis bila soalannya mendapat jawapan yang sememangnya dia sudah tahu dari awalnya. Terima kasih kepada drama-drama TV sebab dari situ jugalah Balqis belajar bagaimana terhasilnya jawapan yang mampu meranapkan segenap hati mana-mana manusia yang berjantina lelaki mahupun perempuan. Jawapan Khairel juga berjaya lemahkan empangan mata Balqis. Dibiarkan empangannya pecah dan terus menerus mengalir di pipi mulusnya. Ya, sengaja tidak disekanya. Biar lelaki itu lihat betapa lamanya matanya tahan air dari terembes keluar sejak ketahui kisah kecurangannya, bisik Balqis.


"Bal.. Mungkin kita sudah tidak serasi. Dan saya rasa saya bukan jodoh awak. Maafkan saya." Mendatar suaranya. 


"Tapi dulu awak cakap awak sayang saya. Sayang sangat-sangat. Kenapa sekarang awak macam ni?!" Balqis tinggikan nada suaranya. Geram! Tetapi dia tahu, setinggi mana pun nada suaranya sudah tidak mampu ubah apa-apa. 


     Soalan Balqis dibiarkan sepi seketika. Mungkin sel-sel otaknya sedang berhubung supaya dapat memikirkan ayat apa yang sesuai untuk menenangkan hati aku atau dia sedang memikirkan tentang si gadis yang dia main cinta sekarang, getus hati kecil Balqis. Bertambah geram Balqis jadinya.


"Sekarang saya dah tak rasa apa-apa, Bal. Lupakan saya."


     Terpacul sudah kalimat yang sememangnya berjaya merobek hati Balqis. Dia terus mengatur langkah dan pergi dari situ tanpa mengucapkan selamat tinggal. Paling menyakitkan Khairel tidak menahannya dari pergi.


Khairel sudah menjadi sejarah yang Balqis sendiri tidak mahu kenang. Sampai bila-bila.



Dua minggu sebelumnya....


"Nombor yang dail tidak dapat dihubungi."

      Sudah enam kali Balqis mendail nombor Khairel dan mendapat pesanan yang sama. Masih tidak berjawab panggilannya. Susah benar mahu menghubungi lelaki itu sekarang. Sejak peristiwa Khairel tersalah hantar pesanan ringkas kepada Balqis, sungguh menduga kesabaran Balqis. Dia periksa lagi pesanan ringkas yang bersulamkan cinta dari Khairel kepada Rina. Rina mana pun Balqis tidak tahu. 


     "Awak ada kat mana?" Dihantarnya SMS kepada Khairel. 

    Sudah sepuluh minit berlalu tetapi masih juga tiada balasan dari Khairel. Sekali lagi Balqis periksa pesanan ringkas itu. Makin bertambah pedih hatinya. Dia periksa akaun Twitter miliknya, ada beberapa tweets yang Khairel hantar terpampang di laman utama Twitter. Sengaja mengabaikan aku ke apa ni, bisik hatinya.


      Malam itu takdir telah menemukan Balqis dengan Khairel. Jalan ceritanya bukan terserempak di shopping mall dan Khairel mengajaknya makan di restoran kegemaran mereka. Tetapi, Balqis melihat Khairel dan Rina sedang makan di sebuah restoran. Ya, restoran yang dahulunya kegemaran mereka berdua. Bertambah luluh hati Balqis bila raut wajah Khairel sungguh bahagia.

"Dia tak sayang aku dah ke?" Soal Balqis sambil berlalu pergi.



      Lapan bulan berlalu dengan pantas sekali. Balqis sudah berjaya keluar dari kesedihan yang melampau. Kata omputeh, move on. Tetapi hidupnya mungkin bakal menjadi kelam kembali sejak kehadiran Khairel di hadapan rumahnya petang itu. Datang dari mana pun Balqis tidak tahu. Dia yang sibuk menyiapkan minum petang untuk dinikmati bersama Tini, Farah dan Yaya (rakan serumah Balqis), kaget apabila Tini beritahu bahawa Khairel terpacak di depan sana.


    Apa hajatnya datang ke rumah ya, bebelnya sendiri. Ah! Mungkin mahu menyerahkan kad undangan perkahwinannya dengan Rina kot. Tapi, bukan ke terlalu awal nak naik pelamin bagi usianya itu, soalnya dalam hati. Ah! Persetankan semua itu. Tak bagi untung pun kalau fikir. 


     "Boleh saya cakap dengan awak sekejap? Hanya kita berdua." Disusunnya ayat elok-elok sambil mengerling Farah dan Yaya yang sedari tadi berebut mengecil tubuh masing-masing di sebalik pintu, curi dengar perbualan Balqis dengan Khairel. 


    "Cakap sekarang pun takpe." Balqis sibuk membelek kelopak bunga mawar di hadapannya. Ada beberapa kelopak mawar merah itu mulai bertukar warna. Dipegangnya dengan hujung dua jarinya. Mungkin begini cinta Balqis pada Khairel sekarang, sudah tidak punya apa-apa makna lagi. Dikerlingnya Khairel yang sedari tadi perhatikan dia membelek  mawar dalam pasu itu. Tidak senang duduk Balqis apabila diperhatikan sebegitu rupa.


     "Ahmad Khairel, cakap la." Mendatar suaranya.

    "I'm sorry, Balqis. Kita jadi macam dulu ya?" Rayunya dengan nada yang mampu mencairkan hati seorang Balqis suatu ketika dahulu. Sekarang dah lain. 


   "Untuk awak sakitkan hati saya lagi? Rasanya sakit hati saya dah sembuh sejak lapan bulan lepas. Dan, sekarang awak muncul merayu macam ni, sekarang baru pedulikan saya?" Balqis tidak dapat menahan geramnya lagi. 


   "I need you, Bal. Saya tak boleh hidup tanpa awak."

    Balqis tergelak sendiri bila kalimat itu yang meluncur laju dari mulut Khairel. Ya, Balqis sedang memperlekehkan segala dialog yang keluar dari kotak suara Khairel. Percayalah ini baru sedikit kalau nak dibandingkan dengan apa yang Khairel pernah lakukan kepadanya dahulu. 


      "Sudahlah Rel. Saya rasa betul apa yang awak cakap dulu yang kita ni tiada jodoh." Tutur Balqis dengan senyum sinisnya. Riak wajah lelaki di hadapannya sungguh memilukan. Sukar untuk ditafsirkan aura sedih yang terpancar dari kolam matanya. Mungkin ini riak wajah aku saat disakiti lapan bulan lepas, bisik hati Balqis.


      "Balqis, saya sayang awak. Awak sayang saya kan?"Ungkapan sayang yang sungguh menggelikan bagi Balqis sekarang. Gegendang telinganya sudah tidak mampu menampung ungkapan sayang Khairel lagi. 


      "Entah. Saya tak tahu." Padan muka! Dibalasnya Balqis dengan jawapan yang sama. Jawapan yang pernah calarkan hatinya suatu ketika dahulu. 

      Merah padam muka Khairel setelah dibidas dengan jawapan Balqis itu. Tanpa banyak bicara, Balqis tinggalkan Khairel di situ. Tanpa menoleh lagi kerana dia sememangnya tidak mahu hatinya tunduk dengan rayuan Khairel lagi.