Gelap malam makin memekat saat aku topang dagu menghayati bunyi cengkerik di jendela. Sesekali aku dongak atas perhatikan taburan bintang di langit. Mug besar berisi coklat panas aku bawa ke mulut, haba panas yang menyerap mug itu bantutkan niat aku.
Laptop yang sedari tadi aku hidupkan, aku bawa ke riba. Terus aku mainkan lagu-lagu kegemaran aku. Mahu hidupkan suasana, kononnya. Dan senarai main (playlist) dimainkan....
Trek 1 : Wanted - Hunter Hayes
Dalam satu folder yang aku namakan "Senyum" telah aku reka beberapa folder lagi. Ada gambar aku. Ada juga gambar kau. Aku buka. Perut aku merengek minta diisi. Aku capai tupperware merah jambu berisi soft cookies kegemaran aku. Penutupnya aku buka, laju aku ambil soft cookies yang coklat cip paling banyak. Aku kunyah sambil belek gambar di skrin laptop. Sesekali aku zoom in sepasang mata gembira kau dan senyum cantik kau. Aku ulang gigit soft cookies-belek gambar kau-zoom in gambar kau sampai habis lagu yang berdurasi 3 minit 38 saat ini.
Trek 2 : Crush - David Archuleta
Dahaga! Nasib baik ada air mineral di saat tekak aku penuh dengan sisa soft cookies yang manis sekali. Aku teguk perlahan dan biarkan laluan tekak aku normal kembali. Sungguh aku tak selesa. Aku teguk lagi hingga separuh botol.
Ada satu objek tarik perhatian aku. Ya, buku hitam yang saiznya tidaklah lebar mana dan tidak tebal, itu pun bersebab. Setiap kali aku larikan mata pena atas helaian buku itu, setiap kali aku tersilap tulis atau conteng aku terus koyak. Tidak bersyukur dengan wujudnya liquid paper sungguh budak ini.
Aku belek setiap helaian yang bertulis dan aku senyum sendiri. Aku tulis tentang dia. Hampir setiap hari. Bila diputarkan kembali, masa itu dia tidak tahu aku suka dia. Aku teruskan bacaan aku. Aku juga coret cerita 5 tahun lepas. Aku mengaku aku suka dia. Masa tu aku dah lupa statement "perigi cari timba".
Aku tutup buku.
Trek 3 : Here Without You - 3 Doors Down
Aku gerakkan cursor. Ikon Google Chrome aku klik. Aku taip link Blogger yang sudah sedia aku sign in dari hari pertama aku guna laptop ini. Aku klik Posts. Mata aku ikut gerakan cursor dan aku pilih Draft.
Aku baca semua yang aku pernah taip tapi belum sempat aku klik kotak jingga "Publish". Kadang-kadang sengaja aku biar diperam lama sebagai drafts. Pada fikiran aku hanya dua. Pertama, isi yang aku taip sungguh memalukan. Sampai rasa nak hantuk kepala dekat dinding. Kedua, isi yang aku taip terlalu membosankan. Padahal aku sedar perihal ketiganya aku taip cerita tentang kau. Ada yang aku publish dan ada juga yang tak akan aku publish.
Bukan dua tiga, tapi banyak gila.
Trek 1 : Wanted - Hunter Hayes
Lagu pertama dimain kembali oleh senarai main laptop. Baru sedar aku punya tiga lagu kegemaran. Lagi tepat lirik kegemaran sebenarnya. Bawa banyak makna untuk aku fahamkan sendiri.
Disebabkan lagu pertama dimain kembali, aku buat benda sama lagi hingga lagu berdurasi 3 minit 38 saat itu habis.
Setiap orang ada cara tersendiri untuk jatuh cinta dengan mana-mana lagu.
Satu lagu.
Tapi bawa sejuta makna.
Pahit manis aku sendiri yang rasa.
Satu lagu.
Bawa aku dalam dunia lain.
Hingga aku tak mahu hidup dalam realiti manusia lagi.
Satu lagu.
Buat aku senyum nampak gigi.
Buat aku menangis sendu.
Satu lagu.
Dan seorang manusia --- dia.