Friday, December 5, 2014

Dari Jauh.





Selalunya aku dongak kepala ke luar tingkap bilik, aku lihat langit malam yang memekat. Gugusan bintang yang kadang ada kadang tiada. Suasana sunyi yang perangkap aku dalam perasaan sendiri. Perasaan yang aku pendam sendiri. Tapi setiap malam itu aku tak mampu rungkai perasaan dan tulis setiap apa yang rasa saat itu. 


Kali ini aku dongak kepala ke luar tingkap bilik, aku lihat mentari pagi yang mana sinarannya menyimbah seluruh bumi Serdang. Kali ini aku lihat manusia manusia yang jalannya laju, mahu kejar bas mungkin. Ada juga yang datang dalam satu geng empat orang, sakannya mereka gelak. Pada pendapat aku, mungkin ada yang buat lawak atau gosip tentang drama dalam kelas. Misalnya, dalam kelas tadi pagi ada rakannya kena marah dengan lecturer sebab bising. Ataupun, ada gosip tentang rakan sekelas yang diam diam ubi berisi zasss! Keluar isu dia sudah berpunya. Macam-macam.

Aku hanya cemburu satu hal. Aku cemburu dengan sinar bahagia yang terpancar dari raut wajah mereka. Aku hanya pemerhati yang cemburu dari jauh. Hati aku kosong. Jiwa aku tiada. Mahu gembirakan hati manusia sekeliling, tapi diri sendiri tak pernah gembira. Perasaan jenis apa ini? Aku pernah rasa. Dan aku sendiri tidak pasti kenapa harus aku punya rasa ini sekali lagi. Empangan mata bagaikan mahu dirobek tapi ditahan dengan kata hati yang berbisik, aku tidak punya sebab untuk menangis. 


Dan tika ini aku sedar, aku manusia. 
Manusia yang sangat complicated

Thursday, August 21, 2014

Noktah






Dulu kau dan dia selalu sangat bertukar pesanan ringkas. Senang cerita hampir setiap masa jugak lah. Setiap malam kau selalu call dia. Terlalu banyak cerita dan luahan yang dia kongsi dengan kau. Kau pun sama. Kalau tak dengar suara masing-masing, ada sahaja yang tidak kena. Makan tak kenyang, duduk tak senang, asyik nak beralih-alih. Tak selesa kata kau dan dia. Bila ada depan mata, dia malu nak pandang kau. Bila diusik kawan-kawan, dikatanya janggal. Sampaikan kawan-kawan hairan. Disoalnya mereka sambil garu kepala yang tak berapa nak gatal, ada apa antara kamu berdua. Kau tahan gelak. Kau jawab, takda apa-apa lah. Tapi, kau senyum sambil pandang dia. Dia tak sedar tapi dalam hati bahagia. 


Sekarang kau dan dia sudah jarang berhubungan. Tiada lagi pesanan ringkas yang selalu singgah peti masuk telefon bimbit dia. Kau sudah berubah. Dia masih membelek-belek telefon bimbit, manalah tahu kau tiba-tiba hantar pesanan ringkas. Suara kau. Dia rindu suara kau. Sudah agak lama kau dan dia tidak kongsi cerita. Bila kau, dia dan kawan-kawan keluar bersama, raut wajah dia tiada riak gembira. Kawan-kawan hairan lagi. Disoalnya mereka sambil mata bersilih ganti pandang wajah kau dan dia, ada apa antara kamu berdua. Kau hela nafas panjang. Kau jawab, takda apa-apa lah. Kali ini, kau pandang dia. Dan dia sedar tapi hati dia sudah kosong.